23 Julai 2021

Majoriti guru di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19

SHAH ALAM - Majoriti guru di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan bersedia untuk pembukaan semula sekolah menjelang 1 September depan. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, secara keseluruhannya, sehingga kini sebanyak 67.61 peratus daripada kira-kira 400,000 guru seluruh Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

"Bagi guru kelas peperiksaan pula, sebanyak 85.17 peratus daripada kumpulan guru itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

"Bagi kakitangan sekolah pula, sebanyak 54.52 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Usaha sedang dipergiatkan bagi meningkat kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat. Pada 17 Julai lalu, 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini. KPM berkata, ketetapan itu diambil mengambil kira kadar vaksinasi membabitkan guru, pentadbir dan kakitangan sekolah. 

Bagaimanapun, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut. Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, KPM akan terus bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sokongan sekolah. 

(SUMBER: Sinar Harian 23 Julai 2021)