28 Julai 2021

KES COVID-19 DI KELANTAN MENINGKAT SELEPAS AIDILADHA


Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan meningkat beberapa hari selepas Aidiladha, kata Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir.

Susulan itu kadar penggunaan katil di 11 PKRC di seluruh negeri itu kini mencapai kapasiti antara 80 dan 90 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata bagi mengelakkan berlaku kesesakan pesakit di PKRC, pihaknya telah mengambil kaedah untuk discaj pesakit menerusi penilaian klinikal.

Katanya bagi pesakit kategori satu yang tidak mempunyai gejala, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan pulang bagi menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berbanding sebelum ini mereka dikuarantin selama 11 hari di PKRC.

“Bagi pesakit kategori dua dan ke atas yang bebas daripada sebarang gejala pula mereka akan dibenarkan pulang untuk HIO selepas dipantau secara klinikal selama tempoh 48 hingga 72 jam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pesakit untuk melakukan HIO bergantung kepada kriteria rumah yang bersesuaian selain pesakit dan penjaga juga mempunyai akses melalui telefon bagi memudahkan pemantauan.

“Bagi mereka yang dibenarkan pulang untuk menjalani HIO, kita memohon agar berdisiplin ketika berada di rumah dan dengan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini sekarang, kita perlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

(SUMBER: AgendaDaily.com)