22 Mac 2013

JUMLAH LULUS SPM 2012 KELANTAN MENINGKAT

PELAJAR cemerlang yang mencatatkan keputusan 11A+, Aqilah Hanani Kamaruzaman (memakai selempang, kiri) dan Nur Amalina Azmi (kanan) menerima tepukan gemuruh daripada rakan-rakan di SMK Agama Naim Lilbanat, Kelantan. Turut sama, pengetua sekolah tersebut, Maimunah Ismail (sebelah Aqilah Hanani).


KOTA BHARU 21 Mac - Sebanyak 93.4 peratus daripada 35,621 calon sekolah kerajaan, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah swasta dan persendirian yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 di negeri ini layak mendapat sijil iaitu peningkatan 0.75 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, pencapaian 148 sekolah kerajaan tahun ini termasuk sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) berjaya mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.03 peratus apabila memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 5.01 walaupun sedikit menurun jika dibandingkan GPN 4.97 tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 21 buah sekolah termasuk sebuah SABK iaitu Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Kauthar mencapai kelulusan 100 peratus manakala Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra pula menjadi sekolah tunggal mencapai kelulusan 100 peratus bagi kesemua mata pelajaran.
"Bilangan keseluruhan calon cemerlang sekurang-kurangnya mendapat semua A- dalam mata pelajaran diambil ialah seramai 432 calon iaitu 1.57 peratus daripada semua calon sekolah kerajaan pada 2012.
"Pencapaian itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.28 peratus atau seramai 74 calon berbanding pencapaian 2011," katanya semasa mengumumkan keputusan SPM 2012 di Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Negeri di sini hari ini.
Jelasnya, calon cemerlang dengan semua mata pelajaran A+ ialah seramai 15 orang dengan dua orang telah mendapat 11A+ iaitu Nur Amalina Azmi, 18, dan Aqilah Hanani Kamaruzaman, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Naim Lilbanat.
Katanya, SMK Dato' Ahmad Maher pula mencatat bilangan pelajar cemerlang negeri teramai tahun ini iaitu sembilan orang yang memperoleh 9A+.
Hussain berkata, sekolah lain yang turut mempunyai calon cemerlang negeri ialah SM Sains Pasir Puteh (seorang 10A+), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban (seorang 10A+), SMK Ismail Petra (seorang 9A+) dan Maktab Sultan Ismail (seorang 9A+).
Beliau berkata, sejumlah 89 mata pelajaran telah diambil oleh calon SPM 2012 dengan 55 yang ditawarkan mencapai kelulusan 100 peratus selain 30 mata pelajaran mengatasi keputusan peringkat nasional.
"Terdapat 17 mata pelajaran yang menunjukkan peratus peningkatan kelulusan ketara berbanding 2011 seperti Sains Pertanian yang meningkat 18.55 peratus, Perdagangan (17.58 peratus) dan Ekonomi Asas (15.77 peratus).
"Sebanyak 29 mata pelajaran pula menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GMPP) seperti Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut, Sains Pertanian, Pengetahuan Sains Sukan dan Geografi yang telah meningkat secara luar biasa," katanya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian peperiksaan SPM 2012 yang mempamerkan trend kecemerlangan hampir serupa dengan prestasi peperiksaan awam lain yang telah diumumkan sebelum ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130322/wt_02/Jumlah-calon-lulus-meningkat-di-Kelantan#ixzz2OnPlWfH4
© Utusan Melayu (M) Bhd