03 Mac 2015

KEPUTUSAN SPM 2014 MENURUN - UTUSAN MALAYSIA


SPM 2014: Lebih 11,000 peroleh gred A dalam semua subjek 
Oleh HASNURUL MOHAMED

PUTRAJAYA 3 Mac - Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, seramai 11,289 orang calon berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2014 dengan memperoleh gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah seramai 455,839, yang meninjukkan penurunan berbanding dengan jumlah calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2013 iaitu seramai 470, 395 orang.

"Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2014 berkurangan sebanyak 14,556 atau 3.1 peratus," katanya pada majlis sidang akhbar analisis keputusan peperiksaan SPM 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, prestasi calon di seluruh negara yang menduduki peperiksaan SPM masih membanggakan.

"Keputusan SPM dilaporkan berdasarkan pencapaian calon dan prestasi mata pelajaran.

"Indeks yang digunakan ialah Gred Purata Nasional (GPN) yang mana, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya. 

Beliau juga memaklumkan, pencapaian calon cemerlang SPM 2014 sedikit menyusut berbanding tahun 2013 memandangkan GNP bertambah sebanyak 0.15 peratus dari 5.08 pada 2014 daripada 4.93 pada 2013 disebabkan oleh beberapa faktor.

"Salah satu faktor ialah ketidakupayaan calon menguasai ilmu daripada menentukan format peperiksaan iaitu format baharu yang digunakan sejak tahun lepas.

"Format baharu ini lebih kepada ilmu pengetahuan dan menggunakan pemikiran sendiri untuk menjawab soalan," jelasnya. 

Tambah beliau, satu lagi faktor penurunan kejayaan cemerlang calon SPM ialah cara mengulang kaji pelajaran.

"Pelajar memilih mengulang kaji secara automatik, yang memungkinkan mereka ini berhadapan dengan masalah menyusaikan diri dengan format baharu peperiksaan," katanya.

Oleh itu, kata Dr. Khair, walaupun bilangan pelajar cemerlang agak menurun, namun mereka masih dalam julat yang sama dengan pencapaian sebelum ini. - UTUSAN ONLINE