Ahad, 14 September 2014

RUMAH PELAJAR SMKPK TERBAKAR

Sinar Harian
'Bila saya kejut, dia tak nak bangun'

Tiada apa yang dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran di Kampung Lubuk Mak Udang.

PULAI CHONDONG - Keengganan seorang remaja, tidur di ruang tamu menyelamatkan nyawanya apabila berlaku litar pintas di bilik tidurnya sekaligus menyebabkan rumah keluarganya musnah dalam kebakaran pada jam 11.30 malam, kelmarin di Kampung Lubuk Mak Udang, di sini.

Ibunya, Sufiah Musa berkata, dia mengejutkan Nor Atirah Fitrina Mohd Hanafi untuk tidur di bilik apabila menyedari dia tertidur di ruang tamu bersama adik lelakinya.

“Bila saya kejut, dia tak nakbangun. Dia cakap, dia nak tidur di situ, dan beberapa minit kemudian saya terdengar bunyi pelik. Bila saya tinjau, saya dapati tilam di bilik tidur Atirah terbakar.

“Sekali lagi saya kejutkan kedua-dua anak saya sebelum bergegas ke rumah jiran berdekatan bagi meminta pertolongan memandangkan suami saya tiada di rumah ketika kejadian,” katanya yang tinggal sehelai sepinggang di sini, semalam.

Menurutnya, dia  tidak dapat bayangkan nasib anak perempuannya itu jika tidur di bilik sebelum kejadian memandangkan api marak dengan cepat.

Sufiah berkata, tidak sampai lima minit dia ke rumah jiran meminta pertolongan, rumahnya musnah dalam kebakaran tersebut dan dia hanya mampu menyelamatkan sebuah kereta dan motosikal.

Tambahnya, rumah yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu itu tidak pernah mengalami kerosakan pendawaian elektrik dan kejadian tersebut diluar jangkaan mereka sekeluarga.

“Sebelum kejadian saya dah tidur dan terjaga kira-kira setengah jam sebelum itu untuk mengemas pakaian sebelum ke rumah abang saya di Melor memandangkan dia akan mengadakan kenduri dalam masa terdekat.

“Tiada apa-apa yang kami dapat selamatkan namun saya bersyukur, saya dan anak-anak selamat,” katanya.

Kerugian dianggarkan berjumlah RM100,000 dengan merangkumi rumah dan kelengkapannya serta barang-barang berharga.

Katanya, buat sementara waktu, dia dan keluarga akan tinggal di rumah mertuanya yang terletak berdekatan.

“Terima kasih kepada bomba, keluarga, rakan taulan dan jiran tetangga yang banyak membantu kami menghadapi saat-saat sukar ini,” katanya.