30 Jun 2021

MOTIVASI - 400 pelajar redah perjalanan 5km ke puncak bukit demi PdPR

KUALA KRAI: Kira-kira 400 pelajar dan penuntut universiti membabitkan lima kampung di Mukim Mambong, di sini, terpaksa merempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia, demi mendapatkan capaian internet. 

Pelajar berkenaan dihantar oleh keluarga atau menunggang motosikal sendiri untuk ke kawasan itu yang mengambil masa 15 minit demi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdPR) atau pengajian secara dalam talian. 

Daripada jumlah itu, 200 pelajar dan penuntut universiti dari Kampung Bahagia, manakala selebihnya dari kampung Sungai Rimau, Raba, Mambong dan Johol. 

Difahamkan, kawasan puncak bukit kampung itu satu-satunya lokasi yang mampu mengakses dan memberikan capaian internet yang tinggi, menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan. Tinjauan di lokasi mendapati, kawasan berkenaan dilengkapi dua bangsal yang dibina oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah, selepas mendapati kawasan itu menjadi tumpuan pelajar. 

Kemudahan yang disediakan sejak dua minggu lalu itu bagi memberi kemudahan kepada pelajar supaya mereka dapat belajar dengan selesa, selain mengelak hujan atau panas. Seramai 20 hingga 30 pelajar di kampung itu hadir dalam satu-satu sesi ke kawasan puncak bukit berkenaan untuk mengikuti PdPR atau mahu membuat rujukan maklumat pembelajaran. 

Pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mimi Aina Syahira Muhamad, 17, berkata dia terpaksa menunggang motosikal setiap hari untuk ke kawasan itu bagi mengikuti PdPR. 

"Setiap kali ada PdPR atau untuk menyiapkan kerja sekolah, saya dan rakan-rakan akan naik ke kawasan ini memandangkan liputan internet di sini laju. 

"Memang susah nak dapat capaian internet di rumah menyebabkan saya dan rakan terpaksa datang puncak bukit ini.

lagi di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833565/400-pelajar-redah-perjalanan-5km-ke-puncak-bukit-demi-pdpr