16 Mei 2021

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN YANG KE-50 TAHUN PADA 16 MEI 2021

 Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021


Selamat Hari Guru kepada semua guru serta pendidik di Malaysia. Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 yang disambut pada hari ini, 16 Mei 2021 merupakan paling bermakna kerana telah genap 50 tahun semenjak ianya disambut buat kali pertama pada tahun 1972.
Dalam Ucapan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin yang disiarkan serentak di beberapa stesyen televisyen hari ini, sempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, telah diumumkan juga dua anugerah khas yang memberi penghargaan kepada tokoh guru. Dua anugerah tersebut adalah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.
Puan Hajah Noorizan binti Mohamed yang merupakan mantan Pengetua SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan telah terpilih untuk dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021. Manakala, dua penerima lagi telah dinobatkan dan dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021. Penerima anugerah ini merupakan mantan-mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) iaitu YBhg. Dr. Amin bin Senin yang merupakan mantan KPPM dari tahun 2017 hingga 2019 dan YBhg. Dr. Habibah binti Abdul Rahim yang juga merupakan mantan KPPM dari tahun 2020 hingga 2021.
Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa. Tema yang sama telah digunakan pada tahun ini iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” ini menyentuh peranan guru dalam memperkasakan keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).
Kepada semua guru dan pendidik khususnya, andalah pewaris negara bagi membentuk generasi baharu.
Selamat Hari Guru dan Terima kasih cikgu!

SUMBER: FB KPM

Hari Guru 2021: Konsep pembelajaran yang baik perlu sentiasa relevan - PM Muhyiddin


PUTRAJAYA: Perubahan yang berlaku akibat pandemik COVID-19 jelas membuktikan konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara 'four walls of a room', kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, konsep pembelajaran yang baik mesti relevan pada setiap masa dan setiap tempat. Dalam suasana norma baharu, ujar Perdana Menteri lagi, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya dalam kalangan warga pendidik.
"Hari ini, pelantar pembelajaran digital mendominasi kaedah pembelajaran sebagai sokongan pembelajaran sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah.
"Sejak 15 Jun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ atau DELIMa.
"Platform ini merupakan salah satu peluang untuk para guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital.
"Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Guru ke-50, bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, secara langsung di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau menyedari cabaran menjalankan PdP secara dalam talian, terutamanya ketika pelaksanaan PdP di rumah (PdPR).
Namun, katanya lagi, beliau telah melihat ramai di kalangan guru yang berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP.
"Ini merupakan suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan yang luas.
"Saya harap pihak KPM akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri, demi menambahbaik pendekatan PdP dari masa ke semasa,” tambahnya.
SUMBER: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-guru-2021-konsep-pembelajaran-yang-baik-perlu-sentiasa-relevan-pm-muhyiddin-298231