Program yang berlangsung di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini itu anjuran bersama Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dengan Jabatan Pendidikan negeri.
Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, lebih 200 sekolah terlibat terdiri daripada 177 sekolah menengah Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), swasta dan pusat-pusat tahfiz.
Beliau berkata, program itu diadakan serentak dengan solat hajat bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) serta pelancaran Rumah Ngaji di seluruh sekolah negeri ini.
"Kita mahu semarakkan konsep Rumah Ngaji iaitu baca, faham dan amal al-Quran di seluruh sekolah.
"Tidak perlu kepada bangunan atau ruangan yang besar melibatkan beban kewangan tetapi memadai sudut dengan aktiviti al-Quran yang berterusan supaya murid tahu, faham dan mengamalkan intipati al-Quran," katanya semasa berucap merasmikan program di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Media Karangkraf merangkap Pengerusi TV Al-Hijrah, Datuk (Dr) Husammuddin Yaacub; Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim
dan Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Sabri Abdullah
Dalam masa sama, Muhammad Zahari turut menasihatkan pelajar belajar bersungguh-sungguh kerana matlamat pendidikan di sekolah dan seterusnya universiti adalah melahirkan insan cemerlang yang memiliki akhlak mulia, peribadi unggul dan bertakwa.

"Kita perlu berusaha menjadi orang dewasa cemerlang yang ada pekerjaan dan pendapatan untuk sara hidup diri dan keluarga serta menjaga keselamatan dan keharmonian negara," katanya. UTUSAN ONLINE