Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan Kementerian Pendidikan ke atas 35,755 pelajar tingkatan satu hingga enam, sejumlah 1,457 positif dadah.
Menurutnya daripada jumlah tersebut, pelajar tingkatan lima dan empat merupakan kumpulan terbesar yang terlibat dengan najis dadah, membentuk 73.1 peratus daripada keseluruhan jumlah yang direkodkan.
Katanya, peningkatan kadar penagihan dalam kalangan pelajar itu disebabkan tindak-tanduk pengedar dadah yang menyasarkan golongan berkenaan sebagai cara untuk memperluaskan pasaran jualan dadah mereka.
“Kita lihat pelajar yang menggunakan methamphetamine sebanyak 74 peratus, ertinya guna dadah sintetik. Sementara 20 pe­ra­tus lagi guna kanabis manakala bakinya menggunakan lain-lain jenis dadah. Jumlah 74 peratus ini cukup bahaya.
“Kerajaan bimbang dengan pe­nyalahgunaan dadah dalam ka­langan pelajar dan gambarannya di sini, masyarakat dan golongan ibu bapa perlu bersama kerajaan, jangan hanya mengharapkan agen­­si semata-mata untuk me­me­­rangi dadah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di bangunan Parlimen hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim.
Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan akan mula dikuatkuasakan bulan depan.
Ahmad Zahid berkata, antara langkah terbaharu dengan me­nu­­buhkan makmal khas bagi me­nguji dadah serta mahkamah khas bagi membicarakan pesalah dadah agar tindakan undang-un­dang dapat dikuatkuasakan dalam tempoh yang lebih pantas. berbanding sekarang.
“Pelaksanaannya 30 hari dari mesyuarat hari ini. Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan akan memutuskan tindakan segera,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas.