Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan tindakan itu merangkumi arahan penutupan sekolah, tadika dan taska sekiranya suhu panas mencapai 37 darjah Celsius selama tiga hari.

“Dalam pelan tindakan tersebut, kerajaan akan mengisytiharkan Kecemasan Gelombang Haba jika suhu melebihi 40 darjah Celsius melebihi tujuh hari termasuk terdapat kes kematian.

“Selain itu, semua aktiviti sukan melibatkan atlet di luar bangunan hendaklah ditangguhkan atau dilakukan dalam tertutup dan berhawa dingin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada hari ini telah bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Gelombang Haba yang dipengerusikan beliau untuk memantau cuaca panas dan kering di seluruh negara.

“Jawatankuasa itu yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Mereka akan duduk berbincang berhubung langkah lanjut yang diperlukan dilakukan kerajaan untuk menghadapi cuaca panas dan kering di kawasan terlibat,” katanya. - UTUSAN ONLINE