10 Mac 2014

SINAR HARIAN - 17 PELAJAR PONTENG DITAHAN DAN DIBERIKAN KAUNSELING

KOTA BHARU - Seramai 17 pelajar lelaki di beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Baharu diberikan kaunseling oleh imam sebuah masjid selepas mereka ditahan dalam "Ops Ponteng" hari ini.

Kesemua mereka dikumpulkan di Masjid Telipot di sini pada pukul 12 tengah hari selepas ditahan di beberapa tempat seperti di kedai makan, pusat membeli belah termasuk di pusat snuker oleh pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, anggota Relawan Rakyat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Kesemua pelajar berusia antara 15 hingga 18 tahun itu kemudiannya diberikan "tarbiah" oleh imam muda masjid tersebut, Azmi Mohd Zain sehingga masuk waktu Zohor.


Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang yang ditemui di masjid berkenaan berkata apa yang mengecewakan sebahagian besar yang ditahan itu adalah pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hussain berkata ibu bapa pelajar berkenaan akan dipanggil pihak sekolah bagi memaklumkan perkara itu.
Salah seorang pelajar Tingkatan Lima yang ditemui berkata dia keluar kawasan sekolah untuk makan bersama rakannya di warung di hadapan sekolah, namun tidak menyangka akan ditahan dalam operasi tersebut. - Bernama