16 Ogos 2013

KEMPEN KIBARKAN JALUR GEMILANG SEMPENA ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-56 DARI 16 OGOS - 16 SEPTEMBER 2013











GARIS PANDUAN
KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG
_________________________________________________

LATAR BELAKANG

1.            Perayaan Bulan Kemerdekaan akan disambut dan dilaksanakan mulai 16 Ogos sehingga 16 September 2013. Perayaan ini akan disambut di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah. Bagi menjayakannya Kementerian Pelajaran akan menguatkuasakan arahan yang terkandung di dalam Surat Pekeliling Ikhtisas dan Surat Siaran seperti yang berikut:

i.              Surat Pekeliling Ikhtisas bil: 14/2000 – Aktiviti Tambahan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah bertarikh 10 Ogos 2000 – Bil: KP(BS)85491/Jld.XV(14)

ii.            Tambahan Kepada Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 15 Ogos 2000- Bil:KP(BS)8591/Jld.XV(14A)

MATLAMAT

2.            Melalui Kempen Pengibaran Jalur Gemilang ini diharapkan agar murid-murid dapat menghayati dan mencintai serta menyayangi Negara Malaysia seterusnya menghargai dan mempertahankan kedaulatannya, serta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa.

OBJEKTIF

3.              Pelaksanaan kempen ini diharapkan dapat;
3.1         Semua sekolah mengibarkan Jalur Gemilang bermula pada 16 Ogos 2013 (Hari Pelancaran) dan seterusnya,
3.2         Memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme di dalam jiwa murid-murid sekolah supaya terus kekal sehingga remaja dan dewasa,
3.3         Mencetuskan dan menyemarakkan perasaan, suasana dan semangat kemerdekaan,
3.4         Mewujudkan rasa kekitaan dan kerja berpasukan seterusnya mengeratkan perpaduan di semua peringkar.
3.5         Mewujudkan kerjasama warga sekolah dengan masyarakat luar melalui aktiviti bersama.
3.6         Menyediakan ruang agar murid-murid menggunakan kreativiti mereka semasa menjalankan kempen ini

 CADANGAN AKTIVITI

4.            Setiap sekolah menyediakan Kertas Cadangan Aktiviti masing-masing khasnya dalam jangka masa kempen dan sepanjang tahun amnya.

5.            Beberapa aktiviti utama dicadangkan bagi pelaksanaan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2013. Kempen Kibar Jalur Gemilang dicadangkan akan dilancarkan  secara rasmi mulai 16 Ogos 2013 (Jumaat) sehingga 16 September 2013 (Isnin). Program ini  akan disambut di seluruh negara sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

6.            Bagi menyemarakkan sambutan di peringkat KPM, BKK mencadangkan beberapa program yang melibatkan penghayatan kepada aktiviti ini, mencetuskan, memupuk dan menanamkan rasa kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan negara, menghargai dan menghormati jalur gemilang seperti yang berikut:

6.1         Perhimpunan Khas

Perhimpunan khas diadakan pada pagi 18 Ogos 2013/19 Ogos 2013 (Menggantikan perhimpunan mingguan Ahad/Isnin) di semua sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Bahagian-Bahagian di KPM. Semua warga sekolah/PPD dan JPN turut terlibat dalam perhimpunan ini di peringkat masing-masing. Cadangan aturcara perhimpunan adalah seperti yang berikut:
·                     Upacara menaikkan Jalur Gemilang dan diikuti nyanyian lagu Negaraku
·                     Nyanyian Lagu Negeri dan Lagu Patriotik
·                     Ucapan Pelancaran oleh Pengetua/Guru Besar/PPD atau Pengarah
·                     Ucapan Tokoh/ pemimpin tempatan/guru bertemakan Kemerdekaan
·                     Simbolik penyerahan bendera
·                     Aktiviti kebahasaan (boleh disampaikan di dalam bahasa kebangsaan/ bahasa Inggeris/ bahasa ibunda:
i.              Syarahan, pidato
ii.            Pantun, sajak
iii.           pengucapan berirama dan sebagainya

Bagi Sekolah Wawasan, acara ini hendaklah disambut secara serentak dan bersama di kalangan murid-murid daripada ketiga-tiga aliran.

              6.2         Pembinaan/Pembuatan pelbagai jenis/bentuk bertemakan Jalur Gemilang

Pelbagai bentuk dan saiz Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan sepanjang tempoh ini di premis  dan kawasan sekolah/pejabat. Pihak sekolah digalakkan menganjurkan pertandingan mencipta pelbagai jenis bertemakan  Jalur Gemilang daripada pelbagai bahan, media  dan bentuk. Hasil kerja murid-murid hendaklah dikibarkan atau dipamerkan sepanjang kempen dijalankan. Pihak sekolah digalakkan mencipta atau mengadakan satu penghasilan kreatif daripada apa-apa bahan sekalipun mengikut kreativiti masing-masing bagi mencipta atau menghasilkan Jalur Gemilang.

6.3         Aktiviti  Bersama Jalur Gemilang

Sempena perayaan ini pihak sekolah, PPD dan JPN boleh mengadakan pelbagai aktiviti menggunakan  Jalur Gemilang. Antara contoh aktiviti yang dicadangkan sebagai panduan adalah:
·                     menghias premis (bilik darjah, premis sekolah, kawasan sekolah/ruang pejabat dan sebagainya)
·                     larian jalur gemilang/berbasikal berfokus
·                     kembara jalur gemilang
·                     pameran kemerdekaan
·                     pertandingan bersesuaian - perbahasan, melukis poster, hiasan
·                     idea kreatif mereka bentuk  Jalur Gemilang (Contoh: topi pelepah kelapa, botol dan sebagainya)

6.4.  Melaksanakan dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum mengikut kesesuaian, contoh;
           *      Tajuk Karangan – dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
           *      Menghormati bendera – dalam mata pelajaran Pendidikan
                  Moral

6.5.  Bagi memperkukuhkan dan memberi lebih impak, dicadangkan setiap sekolah mengadakan pelancaran oleh Pengetua/Guru Besar di peringkat masing-masing.

KESIMPULAN


7.            Bagi melaksanakan program ini dengan jayanya, pihak sekolah disaran melibatkan ibu/bapa/penjaga dan komuniti setempat dalam  aktiviti tertentu yang dirancangkan sesuai dengan Program Sarana Ibu Bapa yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Program ini juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum sekolah khususnya bagi ahli Pasukan Badan Beruniform dan  Persatuan/Kelab.