08 Julai 2013

MAJLIS RUNDING-CARA KE-3 2013 BERJAYA MENINGKATKAN MOTIVASI WARGA SMKPK


PANGKAL KALONG, 8 JULAI 2013 - Majlis Runding-cara Ibu Bapa, Guru dan Calon PMR & SPM SMK Pangkal Kalong berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Majlis ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Zahari Daud, Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan pada pagi tadi. Kehadiran Tn. Hj. Zahari telah disambut meriah oleh Penolong Kanan Pentadbiran (PKP), Tn. Hj. Mohammed b. Haron selaku wakil Pengetua, para pentadbir dan guru-guru, Pengerusi dan AJK PIBG, ibu bapa calon PMR dan SPM serta para pelajar.


   Majlis Runding-cara kali ke-3 pada tahun 2013 ini bertujuan mewujudkan hubungan dua hala yang lebih erat antara sekolah dengan ibu bapa calon di samping membina sikap positif dan komited ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan. Selain itu ia turut memberi ruang kepada pihak sekolah menerangkan Program Peningkatan Akademik Pelajar yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak sekolah. 

    Kesudian Tn. Hj. Zahari untuk hadir dan berucap merupakan suntikan semangat yang amat berkesan kepada warga sekolah termasuk juga ibu bapa. Dalam ucapan perasmiannya, Tn. Hj. Zahari telah menyentuh keperluan ibu bapa, guru dan pelajar calon PMR dan SPM mempunyai matlamat yang sama iaitu mencapai kecemerlangan ilmu.

     Beliau turut menjelaskan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025 yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Pelan ini yang mengandungi 6 inspirasi turut dijelaskan kepada ibu bapa dan pelajar yang hadir. 
    
Timbalan Pengarah turut menyampaikan hadiah kepada 25 pelajar terbaik dalam PKBS 2 yang diadakan baru-baru ini. 5 pelajar terbaik setiap tingkatan telah dipilih untuk menerima hadiah itu. Ia merupakan satu galakan untuk pelajar-pelajar ini mencatat pencapaian akademik yang lebih cemerlang pada masa akan datang, sekaligus menjadi pendorong kepada pelajar lain untuk mengikuti jejak kecemerlangan mereka.