28 Mei 2013

POLIS & JPN KELANTAN FOKUS JENAYAH REMAJA


PASIR PUTEH 28 Mei - Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ini akan memberikan fokus utama untuk membendung jenayah rogol, samseng jalanan dan penagihan dadah di kalangan remaja yang masih di bangku sekolah menerusi Program Perkongsian Pintar (PPP) di antara kedua-dua agensi tersebut.
Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ibu bapa perlu menganggap masalah sosial di kalangan pelajar sekolah sebagai penyakit yang wajib diubati atau dicegah dengan segera sebelum ia merebak dan menjadi lebih parah.
Beliau berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya tiga kes jenayah melibatkan pelajar setiap hari dan kes ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil tanpa usaha untuk membendungnya.
"Tidak perlu saya nyatakan statistik keseluruhan kerana yang lebih penting adalah kesedaran komuniti yang membabitkan tanggungjawab ibu bapa, peranan sekolah dan kerjasama padu kepada pihak berkuasa untuk menanganinya.

"Kesemua kes seperti rogol sama ada dirogol atau disebabkan kerelaan sendiri kesan pergaulan bebas dan pengaruh budaya kuning, kes penagihan dadah disebabkan tiada kawalan keluarga, merempit dengan membekalkan kemudahan motosikal tanpa pemantauan ibu bapa akan menggelapkan masa depan pelajar yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penutup Perkhemahan Latihan Tahunan Kadet Polis Sekolah-Sekolah Kelantan di Taman Rehlah dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Unit Kokurikulum JPN, Ahmad Razukee Zulkifli dan semua ketua polis daerah.

Perkhemahan tersebut dilaksanakan sejak 25 Mei lalu dan disertai 20 platun kadet polis lelaki dan wanita membabitkan penyertaan 400 pelajar sekolah di seluruh Kelantan.
Abdul Aziz berkata, polis sentiasa mengatur program bagi memantapkan sahsiah pelajar dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah, mesyuarat bulanan dengan pegawai jabatan pendidikan, memantau permasalahan ponteng dan penguatkuasaan narkotik selain aktiviti tetap yang membabitkan pasukan kadet polis.
Pada majlis tersebut, Kontinjen Kadet Pasir Mas dinobatkan juara keseluruhan Perkhemahan Latihan Kor Kadet Kelantan tahun ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130529/wt_06/Polis-JPN-fokus-jenayah-remaja#ixzz2UfnSxGd2 
© Utusan Melayu (M) Bhd