20 September 2021

PICK Remaja bermula 20 September 2021, babitkan 3.2 juta orang dan persediaan pembukaan sekolah

Putrajaya: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi hari ini, dengan menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. 
Beliau berkata pelaksanaan PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

"Remaja yang menerima suntikan vaksin Covid-19 perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga bagi menandatangani borang persetujuan terima vaksin," katanya serta menambah remaja yang mempunyai masalah kesihatan akan diberi pengecualian daripada menerima suntikan vaksin.

Dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sempena Kick-Off PICK Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini, Khairy berkata, senarai PPV khas untuk remaja mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus akan diumumkan esok.

Khairy berkata, pelaksanaan PICK Remaja adalah penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada Oktober ini bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan serta mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah....lagi di https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/757009/pick-remaja-bermula-babitkan-32-juta-orang 

Pelaksanaan PICK-Remaja adalah di bawah kelolaan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF-A) yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang telah bertanggungjawab dalam penetapan dasar & penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja. Keanggotaan CITF-A melibatkan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam hal ehwal remaja seperti pendidikan, perlindungan, pemulihan & tahanan.

Statistik menunjukkan trend peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak (0-18 tahun) di Malaysia di mana terdapat peningkatan daripada 12,620 kes pada tahun 2020 kepada 400,668 kes pada tahun 2021 (sehingga 16 September 2021). Ia berupaya memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kluster dan kes di kalangan warga sekolah.

PICK-Remaja mensasarkan 3.2 juta remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Sehingga 15 September, kelulusan pemberian vaksin COVID-19 adalah:
• Remaja berumur 16 hingga 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam;
• Remaja 12 hingga 15 tahun bersekolah;
• Remaja 12 hingga 17 tahun yang berada dalam institusi perlindungan, pemulihan & tahanan;
• Remaja daripada kumpulan rentan seperti remaja gelandangan, pelarian, & bukan warganegara berusia 12-17 tahun.

CITF telah memberi kelulusan pelaksanaan PICK-Remaja kepada Negeri Sarawak telah (8 September 2021) & WP Labuan (11 September 2021) kerana liputan imunisasi COVID-19 di kalangan dewasa di kedua-dua negeri tersebut telah mencapai 80%. PICK Remaja di Sabah pula telah bermula pada 16 September 2021 lalu kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pendalaman & memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar (outreach).

Sehingga 16 September 2021, seramai 85,076 remaja telahpun diberikan dos 1 vaksin COVID-19 di negeri-negeri tersebut. PICK Remaja ini adalah amat penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada bulan Oktober 2021 nanti khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5.

KKM mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Radzi bin Jidin, Menteri Kanan Pendidikan serta seluruh warga KPM atas kerjasama dan kesungguhan melaksanakan PICK-Remaja. Begitu juga kepada semua agensi, petugas dan pelaksana dalam memastikan program PICK-Remaja dapat dijalankan dengan lancar. .... lagi https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/09/kepentingan-pick-remaja-bagi-persediaan-pembukaan-sekolah