TANAH MERAH - Kementerian Pendidikan sedang menaik taraf tahap capaian internet di sekolah bagi membolehkan guru menggunakan teknologi terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada masa ini, lebih 6,000 daripada 10,000 sekolah seluruh negara yang ada kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedang dinaik taraf dari segi capaian internet.

Katanya, apabila semua sekolah terbabit termasuk di kawasan pedalaman dinaik taraf dari segi capaian internet yang dijangka siap pada 2018, beliau percaya proses pengajaran dan pembelajaran boleh diperkukuhkan lagi.

“Bagi guru dalam abad ke-21 ini, perkara paling penting adalah proses pengajaran dan pembelajaran mesti disulami dengan teknologi maklumat.

“Teknologi maklumat mesti digunakan oleh guru selain mengajar dengan percakapan iaitu guru mengajar dengan percakapan dicampur dengan elemen teknologi terkini,” katanya selepas merasmikan Perayaan Hari Guru 2017 peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohammad Yusoff, Pengarah Pelajaran Kelantan, Jaafar Ismail dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. Pada majlis itu, bekas Pengetua SMK Dato Ahmad Maher, Mohamad Fauzi Mamat dan bekas pengetua Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah. Ghazali Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Kelantan 2017. Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, dengan perkembangan pesat teknologi di seluruh dunia pada masa ini, guru boleh dianggap gagal jika tidak dapat menguasai teknologi terkini.

“Capaian internet berkelajuan tinggi bukan sahaja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga untuk guru dan kakitangan sekolah melaksanakan tugas,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Guru, beliau berkata, program itu merupakan satu penghormatan kepada guru apabila diadakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.

“Saya kira, bila ada pihak luar seperti PIBG, persatuan alumni, orang politik dan NGO juga ambil tanggungjawab sambut Hari Guru, ini dianggap sesuatu yang baik kerana ia bukan sahaja disambut oleh guru tetapi juga masyarakat,” katanya.