Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara kali ini, nampaknya pelaksanaan sambutan Hari Raya Aidiladha adalah terhad dan sebahagian kita terpaksa melakukan solat sunat Aidiladha dan khutbah di rumah memandangkan kes harian yang masih tinggi.
Berikut dikongsikan teks bacaan khutbah Hari Raya Aidiladha yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dimuatnaik di laman web e-Khutbah (JAKIM) untuk rujukan mereka yang mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidil Adha di rumah pada 10 Zulhijjah, bersamaan 20 Julai 2021 ini.
Solat Sunat Hari Raya Aidiladha
Solat sunat hari raya haji (Aidiladha) hukumnya sunat Muakkad (sangat digalakkan). Segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa.
Cuma ditambahkan dengan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir.
Sembahyang sunat Aidiladha dikerjakan pada 10 Zulhijjah. Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.
Solat Aidiladha sunat disegerakan bagi memberi keluasan waktu untuk ibadah korban.
Lafaz Niat Solat Sunat Hari Raya Aidiladha Dan Tasbih
Berikut adalah lafaz niat solat sunat Aidiladha dan tasbih beserta makna.
Lafaz niat solat sunat aidiladha (untuk makmum)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
Lafaz tasbih
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.
Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha
◎ Rakaat Pertama
- Mulai dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat aidilfitri/aidiladha di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Quran (disunatkan membaca surah Al-A’laa).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.
◎ Rakaat kedua
- Mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah Al-Ghaasyiyah).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
- Memberi salam.
Panduan Teks Khutbah Aidiladha 2021
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.
Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Berikut dikongsikan teks khutbah Aidiladha bagi tahun 2021.
KLIK DI BAWAH UNTUK TEKS KHUTBAH AIDIL ADHA JAKIM 2021