24 Julai 2021

JAGA DIRI & KELUARGA! ANGKARA COVID-19 - Kakak 19 tahun galas tugas 'ibu ayah' jaga 7 adik

"Saya mahu adik ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun dugaan kami besar, saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu dan tercicir dalam pelajaran," 


BUKIT BERUNTUNG: Lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19 tekad meneruskan kelangsungan hidup biarpun terpaksa melalui kesusahan. 

Anak sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang kini memikul tanggungjawab sebagai 'ibu dan bapa' meletakkan harapan tinggi buat adiknya untuk menerima ketentuan itu dan bangkit daripada segala kedukaan yang dihadapi. 

Penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Mersing, Johor itu tetap mahukan semua adiknya meneruskan pembelajaran demi memastikan masa depan yang lebih baik buat mereka. 

"Saya mahu adik ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun dugaan kami besar, saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu dan tercicir dalam pelajaran," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Terdahulu, beliau dan tujuh adiknya dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang meluangkan masa bertanyakan khabar serta menyampaikan sumbangan dan bantuan, termasuk pendidikan dan sara hidup.

Nazurah berkata, semua adiknya reda dengan pemergian insan tersayang biarpun rasa sedih itu masih menebal dalam diri. 

"Ayah dan ibu pesan untuk jaga adik baik-baik dan walau apa pun yang terjadi, kami jangan berpisah. 

"Saya akan jaga adik sebaiknya, akan ingat pesanan ayah dan ibu," katanya yang kini tinggal bersama ibu saudaranya di rumah berkenaan. 

Menceritakan pemergian bapanya, Benyajeed Bernie, 45, pada 16 Julai lalu diikuti ibu, Noraini Ibrahim, 43, dua hari selepas itu, Nazurah mengakui bapanya mempunyai sejarah penyakit iaitu pernah menghidap angin ahmar 10 tahun lalu, manakala ibunya mempunyai penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi. 

"Ibu dan bapa saya belum disuntik vaksin COVID-19 ketika mereka disahkan positif virus. Ibu positif dulu dan bapa kemudian menjadi kontak rapat," katanya memberitahu beliau dan semua adiknya turut disahkan positif dan kini sudah tamat menjalani kuarantin diri. 

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Nazurah berkata dia akan menetap di situ untuk menamatkan pengajiannya di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang dan belum merancang untuk tinggal bersama neneknya di Pahang. 

"Memang ada yang cakap kami akan tinggal bersama nenek selepas ini, tetapi buat masa ini belum lagi sebab mak cik mahu jaga kami di sini," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan, terutama Ismail Sabri, Dr Adham dan Noraini yang sudi membantu mereka dan berjanji bantuan yang disalurkan pelbagai pihak akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain bantuan wang tunai, bakul makanan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Nazurah juga ditawarkan pertukaran tempat pengajian di Mersing, Johor ke Behrang bagi membolehkan dia tinggal bersama adiknya yang lain.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/842182/kakak-galas-tugas-ibu-ayah-jaga-7-adik