PUTRAJAYA: Remaja dikategorikan dalam kumpulan berisiko tinggi diberi vaksin Covid-19 lebih awal daripada golongan sama yang tiada latar belakang penyakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, usia remaja dalam kalangan pelajar yang akan diberi vaksin adalah antara 12 hingga 17 tahun dengan mereka yang layak akan disuntik dengan vaksin Pfizer.
“Kita akan memberi fokus kepada remaja yang dikategorikan kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu.
“Selain itu, semua pihak berkaitan dengan persekolahan akan diberi vaksin dalam memastikan tidak wujudnya kluster berkaitan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.
Ketika ditanya sama ada golongan remaja akan diberi dos yang sama seperti orang dewasa, Adham berkata, pakar masih menilai data klinikal bagi memberi penilaian berdasarkan usia dan berat seseorang itu, namun, mencadangkan dos yang berbeza dari orang dewasa.
“Dos remaja tidak sama dengan orang dewasa dan mereka akan menerima dos yang kurang dari dos orang dewasa,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau bersama Adham dan Menteri Pendidikan menerima taklimat yang panjang lebar dari kumpulan pakar memaklumkan vaksin akan diberi kepada kumpulan berkaitan dengan persekolahan.
“Semua pihak berkaitan seperti guru dan juga pemandu bas akan diberi vaksin sekiranya sekolah dibuka semula,” katanya. -UTUSAN ONLINE