25 April 2021

COVID-19: SEMUA SEKOLAH DI KELANTAN TUTUP SEHINGGA 1 MEI 2021

SEKOLAH DI 7 DAERAH + 3 DAERAH LAGI TUTUP

KOTA BHARU: Sekolah di tiga daerah di negeri Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang ditutup sehingga 1 Mei ini. 

Penutupan itu menjadikan jumlah keseluruhan 596 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu ditutup bagi mengekang penularan COVID-19. 

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Zulkernai Fauzi dalam satu pemakluman, berkata penutupan sekolah itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (Khas) Negeri Kelantan-Penguatkuasaan COVID-19 hari ini. 

Katanya, mesyuarat itu mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan negeri supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di tiga daerah membabitkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang. 

"Cadangan ini dipertimbangkan dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan semua sekolah yang berada di tiga jajahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup selama tujuh hari.

"Semua pelajar yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama," katanya.Beliau berkata, semua guru pula diminta untuk memastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah."Semua Pegawai Pendidikan Daerah perlu terus membuat pemantauan di semua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya.

Terdahulu, media melaporkan penutupan semua sekolah di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah serta semua 93 sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan di negeri ini disambung sehingga 1 Mei depan. (BH)