RENCANA:
Adab Tuntut Ilmu Walau Belajar Secara Dalam Talian
Memulakan belajar dengan berdoa
Doa merupakan harapan dan manifestasi
kebergantungan seseorang individu dengan Allah SWT. Terdapat banyak doa yang
telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW yang boleh diamalkan ketika hendak
belajar atau menuntut ilmu. Sebagai pelajar, berdoa pada setiap kali sebelum
mula belajar sepatutnya dijadikan sebagai amalan bagi memperoleh keberkatan,
ilmu yang bermanfaat, ketenangan, kemudahan serta kefahaman yang baik dan
dijauhkan daripada sifat lupa.
Melakukan persediaan awal untuk pembelajaran
Setiap pelajar perlu memainkan peranan dan bertindak lebih proaktif dan sentiasa berusaha untuk mencari maklumat berkaitan kursus atau subjek yang hendak dipelajari dengan lebih awal serta membuat persediaan sebelum pembelajaran bermula. Dalam menghadapi suasana kritikal seperti ini, pelajar tidak sepatutnya hanya bergantung kepada bahan yang dibekalkan oleh tenaga pengajar semata-mata. Selain itu, sebelum sesi pembelajaran dalam talian bermula, pastikan juga bahawa segala bahan pembelajaran telah disediakan termasuk peralatan yang diperlukan seperti alat pengecas bagi peranti yang digunakan.
Menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran
Bagi pembelajaran secara dalam talian, adalah sukar untuk tenaga pengajar melakukan pemantauan ke atas setiap pelajar terutama sekiranya bilangan pelajar adalah ramai. Setiap pelajar, atas rasa kesedaran dan tanggungjawab sendiri sewajarnya menghargai pengorbanan yang diberikan oleh guru mereka dengan memberikan kerjasama dan tumpuan sepenuhnya terhadap subjek pembelajaran serta menjauhi sikap sambil lewa. Semasa sesi kelas dalam talian sedang berlangsung, usahlah melakukan perkara lain yang tiada kaitan dengan pembelajaran seperti tidur, membuka laman web lain yang tiada kaitan dengan subjek pembelajaran, bersembang dan sebagainya. Perbuatan sebegini mungkin ‘berjaya’ dan tidak diketahui oleh tenaga pengajar tetapi ketahuilah bahawa perbuatan tersebut sebenarnya hanya akan merugikan diri pelajar itu sendiri.
Menepati masa
Bagi membantu kelicinan pembelajaran secara dalam talian, setiap pelajar sewajarnya menepati masa yang telah ditetapkan untuk masuk ke dalam talian dan mengekalkan keberadaan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pelajar juga bertanggungjawab untuk membuat tugasan yang diberikan dan menghantarnya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Berkomunikasi secara baik dan melibatkan diri secara aktif
Sebelum sesi kelas secara dalam talian bermula, pelajar hendaklah menggunakan nama dan gambar sebenar serta perlu memperkenalkan diri apabila diminta untuk berbuat demikian oleh tenaga pengajar atau guru. Pastikan juga kamera peranti dihidupkan sekiranya ingin berbicara dengan mereka. Sekiranya anda ingin bercakap atau bertanyakan sesuatu, mintalah izin terlebih dahulu serta perkenalkanlah diri anda dan elakkan bercakap serentak dengan pelajar lain pada masa yang sama. Sekiranya semua pelajar bercakap pada waktu yang sama, pembelajaran akan terganggu dan menjadi tidak harmoni.
Pastikan juga mikrofon peranti anda berada dalam mod senyap atau dipadamkan sekiranya anda tidak menggunakannya agar tidak mengganggu pelajar lain. Jika anda ingin turut serta dalam perbincangan secara bertulis dalam chatbox umpamanya, perkenalkanlah diri terlebih dahulu dan gunakanlah bahasa yang baik. Elakkan daripada menggunakan bahasa pasar, bahasa rojak, tulisan ringkas atau simbol emoji yang tidak sesuai. Sekiranya anda ingin berhenti sebentar kerana sesuatu sebab, maklumkan di dalam chat box terlebih dahulu. Selain itu, pelajar yang mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian juga perlu melibatkan diri secara aktif dan tidak hanya mendiamkan diri terutamanya apabila berhadapan dengan sebarang masalah pembelajaran. Ucapkanlah terima kasih kepada guru anda selepas sesi pembelajaran secara dalam talian tamat sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Pastikan juga anda tidak merakam sesuatu tanpa mendapat kebenaran atau keizinan daripada guru anda terlebih dahulu.
Menjaga penampilan diri
Walaupun pembelajaran dilakukan secara dalam talian, pelajar dinasihatkan agar memakai pakaian yang bersesuaian serta berpenampilan kemas. Perlu diingat bahawa pembelajaran secara dalam talian disaksikan oleh ramai orang serta mungkin dirakam dan perkara yang mengaibkan boleh berlaku sekiranya kamera peranti anda dihidupkan secara tidak sengaja atau secara tidak sedar. Pastikan juga latar belakang anda semasa sesi pembelajaran dalam talian berlangsung adalah sesuai serta tiada sebarang bunyi bising yang akan menganggu. Maklumkan juga kepada rakan ataupun kepada keluarga bahawa anda sedang mengikuti kelas dalam talian supaya mereka mengetahui dan tidak menganggu anda.
Kesimpulannya, Islam amat menyanjung tinggi setiap usaha yang dilakukan untuk menuntut ilmu. Namun begitu ianya perlulah dilakukan dengan cara yang beradab. Dalam Islam, ilmu dan adab sama sekali tidak boleh dipisahkan bahkan ia adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Tidak ada gunanya jika seseorang pelajar itu memiliki ilmu yang hebat namun tidak mempunyai adab atau etika yang baik. Adab yang baik sebenarnya adalah cerminan atau manifestasi keilmuan seseorang. Semakin tinggi ilmu seseorang itu maka semakin baiklah adabnya dan begitu jugalah sebaliknya. Oleh yang demikian setiap pelajar perlulah memahami, mengambil berat dan mempraktikkan adab belajar yang baik walaupun ianya dilakukan secara dalam talian. Imam Malik bin Anas Rahimahullah sebagaimana yang dinukilkan di dalam Kitab Hilyatul Auliya’ pernah mengungkapkan tentang keperluan mempelajari adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu. Sebenarnya pandemik yang yang berlaku pada hari ini juga, sama ada kita sedar atau tidak sedang mengajar manusia termasuk penuntut ilmu kembali mempraktikkan semua adab dan etika yang baik bukan sahaja dalam pembelajaran namun dalam semua aspek kehidupan.
(Dr Hasnizam Hashim ialah Pensyarah Kanan/Ketua Program Sarjana Muda Fiqh & Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan)
SUMBER: Disesuaikan - BERNAMA