13 Ogos 2019

PELANCARAN PENDIDIKAN SIVIK PERINGKAT KEBANGSAAN PADA 13 OGOS 2019

Pendidikan sivik bentuk masyarakat bertanggungjawab, prihatin dan timbang rasa - PM



PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap, pendidikan sivik yang diperkenalkan di sekolah sejak Jun lalu akan membentuk masyarakat dan individu di Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin, bertimbang rasa terhadap pihak lain.
Perdana Menteri berkata, ia amat penting untuk difahami rakyat bahawa yang menentukan jaya atau tidak seseorang ataupun sesuatu bangsa bergantung kepada nilai amalan hidup dan bukan warna kulit atau tempat tinggal.
Beliau berkata, nilai hidup berkenaan juga penting supaya rakyat tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan sekeliling.
“Kalau kita tidak tahu bagaimana sifat apa yang perlu ada kepada kita maka kita tidak dapat hidup sempurna dalam masyarakat. Kalau kita tidak berpegang kepada amanah dan nilai mulia, maka sudah tentu kita akan dapat kesannya daripada anggota masyarakat.
“Umpamanya, kalau kita mengambil bukan hak kita, kerana kita berpendapat, tidak ada siapa yang akan bertindak terhadap kita.
“Kerana tidak mengawal diri, tidak berdisiplin, sanggup membuat sesuatu yang salah kerana berpendapat bahawa tidak ada tindakan yang akan diambil, masyarakat sudah tentu akan jadi kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram dan stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, pendidikan sivik di sekolah tidak akan menjadi beban kepada guru atau murid sebaliknya ia bertujuan mengajar nilai tanggungjawab, disiplin dan menentukan alam sekitar tidak dicemar dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, usaha mendidik dalam sivik menjadi satu perkara yang penting kerana ia berkaitan dengan masyarakat dan tindak tanduk kita hendaklah menyumbang kepada kebaikan masyarakat.
“Sebab itu pegangan kepada nilai yang mulia amat penting untuk orang perseorangan atau pun untuk masyarakat. Biasanya kita dapat nilai ini dari ibu-bapa, tetapi ibu-bapa tidaklah tahu semua nilai yang baik, bukan semua ibu bapa mempunyai pegangan kepada nilai-nilai yang mulia.
“Ibu bapa kadangkala sibuk, mungkin apa yang diajar, disampai, disemai dalam hati anak mereka tidak begitu baik. Oleh kerana itu kita perlu susun nilai hidup terbaik yang perlu diterap kepada anak kita, ahli masyarakat kita.
“Ini menjadikan satu daripada tugas pendidikan dalam satu masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu tentukan apakah pegangan, apakah sifat yang perlu ada pada anggota masyarakat kita, supaya semua anggota akan menyumbang kepada kebaikan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri percaya, Malaysia akan menjadi negara maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia sekiranya rakyat mempunyai nilai sivik yang tinggi.