22 Disember 2018 3:37 PM
PUTRAJAYA - Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100 kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bantuan itu diberikan kepada murid dan pelajar daripada keluarga yang mempunyai jumlah berpendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 ke bawah.
Jelasnya, pihak kementerian menyediakan peruntukan khas sebanyak RM328 juta yang akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan untuk diagihkan kepada sekolah mulai Januari ini.
"Kerajaan memahami dan mengambil berat akan keperluan perbelanjaan dihadapi oleh ibu bapa menjelang permulaan sesi persekolahan di awal tahun.
"Sehubungan dengan itu, tujuan utama pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Guan Eng, kerajaan juga komited untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang termasuk dari aspek barang keperluan dan kelengkapan persekolahan. - K! ONLINE