Di sini ada cadangan 20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat untuk adik-adik lakukan sepanjang cuti sekolah ini. Buat ibu bapa pula, laburkanlah sedikit wang anda bagi pengisian yang bermakna buat anak-anak. Semoga cuti sekolah ini dapat terisi dengan sebaiknya!

20 Aktiviti Cuti Sekolah Yang Paling Popular dan Bermanfaat

01. Kem Motivasi
Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.


02. Kem Ibadah
Ini juga merupakan kem yang baik untuk adik-adik. Kem Ibadah selalunya akan dipenuhi dengan aktiviti dan program yang berkaitan dengan hal-hal ibadat seperti teknik solat yang betul, memperbaiki bacaan Al-Quraan dan aktiviti pemantapan iman. Malahan kini juga ada kursus pendek cuti sekolah bagi melatih adik-adik untuk mempelajari teknik menghafal Al-Quraan. Mudah-mudahan perkara asas agama ini dapat membimbing adik-adik melayari kehidupan ini ke jalan yang benar.



Kem Ibadah

03. Klinik Sukan
Bagi adik-adik yang meminati sukan pula serta berhajat untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, saya cadangkan adik-adik mengikuti Klinik Sukan. Klinik sukan memang banyak diadakan pada musim cuti sekolah, terutamanya bagi sukan-sukan popular seperti bola sepak, futsal, tenis, badminton, renang dan golf. Bagi yang berkemampuan, bolehlah melantik jurulatih peribadi bagi sukan kegemaran anak masing-masing.


04. Belajar ICT
Penggunaan komputer pada masa sekarang adalah amat meluas dalam kalangan anak-anak. Sekiranya itu adalah minat mereka, maka cubalah didik mereka untuk menggunakannya dengan cara yang berfaedah. Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps adalah perkara baru yang boleh memberi kelebihan kepada adik-adik. Mungkin dengan mengikuti kelas-kelas berikut membolehkan adik-adik mahir dalam menghasilkan bahan kreatif multimedia suatu hari nanti.

Kelas seperti Grafik, Suntingan Video, bina laman web, Coding dan Membina Apps

05. Kursus Pendek Bahasa
Ini juga merupakan kursus yang bagus untuk adik-adik. Mempelajari bahasa tambahan dapat memberi kelebihan buat adik-adik. Bagi yang lemah menggunakan Bahasa Inggeris, boleh ambil kursus Bahasa Inggeris yang banyak diadakan. Antara bahasa asing lain yang dicadangkan adalah Bahasa Mandarin, Bahasa Arab, Bahasa Jepun dan lain-lain bahasa utama dunia.


06. Kemahiran Bertukang
Kemahiran bertukang juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Adik-adik boleh mulakan dengan menghasilkan bahan-bahan mudah yang berguna seperti rak buku dan alat tulis. Kemudiannya dengan pengawasan daripada ibu bapa, adik-adik boleh mula menghasilkan bahan yang lebih besar, seperti bangku, reban ayam dan sangkar burung.


07. Kraf dan Anyaman
Bagi adik-adik yang suka dengan kerja tangan, adik-adik bolehlah mencuba menghasilkan kraf atau pun menganyam. Kraf yang dihasilkan boleh terdiri daripada bahan kertas, plastik, besi dan juga bahan buangan. Boleh rujuk di dalam internet dan bahan bacaan bagaimana menghasilkan bahan kraf yang kreatif dan cantik.


08. Belajar Alat Muzik
Mempelajari penggunaan alat muzik juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tambahan pula jika adik-adik merupakan penggemar muzik. Mula lah belajar dengan menggunakan teknik asas terlebih dahulu. Jika berminat, adik-adik boleh teruskan ke tahap yang lebih tinggi. Alat muzik yang dicadangkan adalah gitar, piano, biola dan seruling.


Mempelajari penggunaan alat muzik



09. Belajar Berenang
Bagi adik-adik yang masih belum boleh berenang, aktiviti ini adalah amat digalakkan. Tempoh sebulan sudah cukup untuk menjadikan adik-adik seorang perenang yang baik. Tak rugi jika sekiranya adik mempelajari kemahiran berenang. Malah jika berminat selepas ini, adik-adik boleh menjadikannya aktiviti riadah yang rutin.


10. Belajar Memasak
Bagi adik-adik perempuan, ini lah masa untuk belajar memasak terutamanya jika anda tinggal di asrama. Bermula lah dengan menolong ibu di dapur dengan masakan yang biasa dimasak oleh ibu. Jika berminat, teruskan lagi dengan mempelajari masakan dari buku resepi atau dari internet. Cuba juga belajar memasak jenis-jenis kek seperti kek keju, kek cawan dan sebagainya. Tentu lebih menarik kan?


11. Belajar Menari
Ini juga adalah satu aktiviti yang menarik. Adik-adik boleh peruntukkan masa cuti sekolah ini dengan belajar menari. Terpulang kepada adik-adik untuk mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional. Sekurang-kurangnya, adik-adik telah menambah satu lagi kelebihan kepada diri adik-adik. Selain daripada tarian yang disebutkan tadi, mungkin adik-adik juga boleh cuba Zumba, aerobik atau tarian kecergasan lain.
mempelajari sama ada tarian moden, atau tarian tradisional


12. Berkebun
Berkebun memang menyeronokkan. Adik-adik boleh memilih sama ada untuk menanam pokok hiasan di sekitar rumah atau menanam sayur. Sekurang-kurangnya dapat juga sayur tadi digunakan untuk makan sendiri atau pun boleh dijual. Jika berkebun bagi tujuan untuk makan atau dijual, pilihlah daripada jenis yang cepat membesar dan memerlukan tempoh yang singkat untuk mengeluarkan hasil. Sempat juga adik-adik merasa hasilnya sebelum kembali ke sekolah.


13. Melancong
Bagi adik-adik dari keluarga yang berkemampuan, keluarlah pergi bercuti dengan keluarga. Aktiviti ini memang sangat menyeronokkan dan juga dapat membuka minda adik-adik. Selain daripada mengeratkan hubungan kekeluargaan, aktiviti ini juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman adik. Antara pilihan yang baik untuk melancong adalah tempat-tempat bersejarah, tempat menarik, taman tema, pusat pelancongan dan tempat yang belum dilawati.

bercuti dengan keluarga

14. Sukan Ekstrem
Ada juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat adik-adik dalam sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.


15. Bekerja Sambilan
Ini juga merupakan aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi adik-adik yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan adik-adik betul, inshaAllah ibubapa tak akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.


16. Membantu Datuk dan Nenek di Kampung
Aktiviti menyeronokkan ini lebih bersifat kekeluargaan, namun ada banyak kebaikan dan manfaatnya. Bagi yang masih mempunyai datuk dan nenek di kampung, ini adalah masa terbaik bagi membolehkan adik-adik mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Cara hidup dan didikan di kampung dah tentu jauh beza dengan kehidupan bersama ibubapa di bandar. Banyak yang akan diperolehi, terutamanya hal-hal dalam melayani orang tua.



Membantu Datuk dan Nenek di Kampung

  17. Menolong Ibu Bapa di Rumah
Adik-adik yang hanya berada di rumah, boleh juga membantu ibubapa ketika mereka keluar bekerja. Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan seperti mencuci pakaian, menyapu sampah, memasak, melipat pakaian dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya kehadiran adik-adik di rumah sepanjang cuti dapatlah juga membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibubapa. Masa untuk berbakti.


18. Melakukan Kerja Amal
Selain daripada membantu ibu bapa, adik-adik juga boleh melakukan kerja amal. Tak perlu memikirkan dan menggerakkan satu kerja amal yang baru. Cukup lah sekadar mencurahkan bakti kepada badan amal kebajikan yang adik tahu. Ajak juga rakan-rakan bagi memeriahkan lagi aktiviti. Banyak kerja amal yang boleh dilakukan seperti membersihkan kawasan masjid dan kawasan perkuburan. Sertai juga badan kebajikan yang membantu memberi makanan kepada gelandangan. Rumah orang tua juga menarik untuk dijadikan tempat untuk kerja amal.


19. Baca Novel / Buku Ilmiah
Bagi adik-adik yang berminat dengan membaca buku, boleh juga meneruskan minat dengan membaca novel atau pun buku ilmiah. Pilih lah daripada senarai novel-novel berkualiti tinggi, supaya adik-adik dapat juga mempelajari teknik menulis yang baik. Buku ilmiah seperti ensiklopedia juga sangat bermanfaat untuk dihabiskan sepanjang cuti ini. Sekurang-kurangnya adik-adik akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan baru yang berguna.



membaca novel atau pun buku ilmiah

20. Ulang kaji dan Persediaan Tahun Depan
Mungkin ini adalah aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya utarakan, namun ada manfaat dan juga kelebihannya. Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, adik-adik bakal berhadapan dengan PBSMR atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.


Ini lah serba sedikit 20 cadangan aktiviti cuti sekolah yang berguna dan bermanfaat kepada adik-adik dan juga ibu bapa. Manfaatkan cuti sekolah adik-adik dengan sebaiknya dengan sasaran mempunyai sekurang-kurangnya satu nilai tambah baru kepada adik-adik tahun depan. Kepada ibu bapa juga, tak perlu manjakan anak pada musim cuti sekolah dengan hanya membiarkan mereka menonton tv, bermain games dan melayari Internet sepanjang masa. Cubalah salah satu daripada aktiviti di atas, inshaAllah anda dan anak akan perolehi sesuatu yang bermakna cuti sekolah ini!

Sumber: CiKGUHAiLMi di 
https://www.gpsbestari.com/tip/tip-belajar/20-aktiviti-cuti-sekolah-yang-bermanfaat-1.527383