25 Ogos 2018

BERITA PILIHAN - Perpustakaan masih relevan

 Perpustakaan masih relevan meskipun ada maklumat digital


Datuk Mohamaddin Ketapi KUALA LUMPUR – Peranan perpustakaan di Malaysia masih relevan dan akan terus berkembang meskipun berhadapan dengan  cabaran maklumat digital dan media sosial, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Beliau berkata,perpustakaan akan masih relevan sekiranya ia boleh diubah untuk memenuhi keperluan  maklumat oleh masyarakat.

“Perputakaan adalah institusi kebudayaan dan pelancongan yang penting. Menerusi pendigitalan, perpustakaan boleh terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat berdasarkan pengetahuan dan diuruskan oleh teknologi digital,” katanya ketika merasmikan Pertubuhan Antarabangsa bagi Persatuan dan Institusi Perpustakaan (IFLA) ke-84 Kongres Perpustakaan dan Maklumat Dunia (WLIC) 2018 di sini hari ini.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kongres ini akan menjana pendapatan lebih RM40 juta  kepada Malaysia di samping membuka peluang untuk mempamerkan perkhidmatan dan kemudahan  perpustakaan, berkongsi amalan dalam pustakawan, pengurusan maklumat dan teknologi komunikas.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada ucaptamanya berkata, mewujudkan budaya membaca adalah tugas yang mencabar terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih terikat kepada media sosial.
Oleh itu, langkah untuk mewujudkan perpustakaan digital adalah satu kelebihan untuk menyalurkan  maklumat dan pengetahuan kepada rakyat Malaysia.

“Pada 2017, Perpustakaan Negara giat mempromosi Perpustakaan Digital 2.0 menerusi program dan media sosial. Ia termasuk sesi latihan dalam talian, bengkel dan pameran.
“Hasilnya, mereka dapat melepasi sasaran penggunaan perpustakaan digital dengan 4.1 juta pengunjung.” katanya.

Pada masa sekarang terdapat 516 perpustakaan di bawah seliaan Perpustakaan Negara  dengan  keanggotaan yang mendaftar ialah 2.57 juta ahli termasuk 539,000 ahli dalam talian. IFLA WLIC 2018, yang pertama kali Malaysia menjadi tuan rumah,  dirasmikan oleh Presiden IFLA Gloria Perez-Salmeron hari ini. Kongres tujuh hari itu bermula semalam dengan penyertaan 3,337 wakil dari 102 negara.- Bernama