KUALA LUMPUR 14 Okt. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 untuk tempoh lima tahun bermula 13 Disember ini.
Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.
Pemilihan tersebut dilakukan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242, yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang disandang Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Disember 2011, akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.
Berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. - UTUSAN ONLINE