Dalam pada itu, media terus memfokuskan keputusan-keputusan cemerlang yang diperoleh oleh pelajar-pelajar daripada keluarga miskin sebagai bukti bahawa kemiskinan bukanlah satu penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan, asalkan berusaha.
Dalam peperiksaan SPM kali ini, peratus pencapaian bagi beberapa subjek tahun ini agak menurun berbanding pencapaian tahun lepas. Kajian perlu dijalankan secara menyeluruh mengenai penurunan pencapaian tersebut terutamanya bagi mengenal pasti puncanya, sama ada berkaitan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pengalaman penulis mengajar subjek Bahasa Malaysia menunjukkan ramai pelajar yang tidak begitu gemar soalan berbentuk KBAT kerana mereka malas berfikir. Jika soalan mengkehendaki mereka memberikan pendapat, mulalah mereka malas menjawab, seolah-olah soalan tersebut tidak ada jawapannya. Malah, ada yang tidak menjawab langsung soalan KBAT dengan alasan tidak ada pendapat mengenai isu yang dibangkitkan dalam soalan.

Soalan berbentuk KBAT sebenarnya sudah lama didedahkan kepada pelajar. Bagaimanapun, soalan ini semakin popular akhir-akhir ini dan dianggap relevan dalam zaman yang serba mencabar dan menuntut pelajar memiliki kemahiran berfikir secara kritis. Oleh itu, meletakkan KBAT sebagai salah satu punca penurunan pencapaian prestasi dalam keputusan peperiksaan boleh dielak jika seseorang pelajar itu bersedia sebelum menghadapi peperiksaan dengan segala macam ilmu yang boleh dipetik daripada amalan seharian mereka.

Jika mereka rajin membaca dan rajin membuat latihan, mereka tidak akan menghadapi masalah ketika berdepan dengan segala macam bentuk soalan yang dikemukakan termasuk soalan KBAT.

Oleh itu, pelajar mesti menerima setiap pembaharuan dalam peperiksaan selaras dengan kehendak zaman dan jangan terus menyalahkan soalan berbentuk KBAT kerana tidak mahu berfikir luar daripada apa yang dibaca dalam buku teks sekolah.
Sikap malas membaca akan membawa masalah kepada pelajar, sedangkan bahan-bahan bacaan tambahan banyak di pasaran, sama ada bahan akademik yang dikhaskan untuk kegunaan sekolah mahupun bahan-bahan bacaan ilmiah lain.

Ukuran kejayaan seseorang pelajar itu sebenarnya masih diletakkan kepada keputusan peperiksaan, maka sudah sewajarnya pelbagai usaha dilakukan oleh setiap pelajar untuk memastikan mereka bersedia untuk menghadapi peperiksaan-peperiksaan awam dengan segala macam ilmu dan kemahiran yang mencukupi.

Mereka mesti melengkapkan diri dengan ilmu yang diperoleh daripada pelbagai bahan dan kaedah terkini iaitu teknologi maklumat yang dapat dicapai dengan mudah, cepat dan lebih berkesan. Mereka mesti merebut peluang ini sebagaimana pelajar di negara maju lain yang sudah lama mahir dalam penggunaan teknologi maklumat, sedangkan masih ramai pelajar di negara kita yang buta dan gagal menguasai teknologi tersebut.

Penulis juga berpendapat, pihak Pejabat Pendidikan Daerah boleh membawa pelajar-pelajar yang berjaya dalam peperiksaan ke sekolah-sekolah untuk menceritakan rahsia kejayaan mereka kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Melalui cara ini, bolehlah dicungkil rahsia kejayaan mereka supaya boleh diteladani pelajar-pelajar lain.